Aspek-aspek penapisan Penapisan

Mengikut isi dan agenda

Rasional bagi penapisan berbeza-beza untuk pelbagai jenis data yang ditapis. Terdapat lima jenis yang utama:

  • Penapisan moral: Bahan-bahan yang mengandungi apa yang dianggap oleh penapis sebagai moralnya boleh dipersoal akan disingkirkan. Badan penapisan tidak menyetujui apa-apa yang dianggapnya sebagai nilai-nilai di sebalik bahan terlibat lalu mengehadkan capaian kepadanya. Misalnya, bahan lucah sering ditapis menurut rasional ini.
  • Penapisan tentera: Pemastian bahawa maklumat perisikan dan taktik ketenteraan sentiasa sulit dan dijauhkan daripada musuh. Penapisan ini digunakan untuk mencegah pengintipan, iaitu perbuatan mencuri maklumat tentera. Tambahan pula, penapisan tentera juga melibatkan pengehadan maklumat atau liputan media yang boleh diumumkan kepada orang awam seperti di Iraq, di mana kerajaan AS mengehadkan penggambaran askar-askar terkorban atau keranda mereka serta penyiarannya di AS agar mengelak reaksi umum yang serupa kepada apa yang berlaku ketika Perang Vietnam atau Krisis Tebusan Iran.
  • Penapisan politik: Kerajaan menahan maklumat rahsia daripada warga-warganya atas sebab mengelak kebebasan suara yang perlu untuk memberontak. Negara demokrasi secara rasminya tidak menyetujui penapisan politik tetapi sering mendukungnya secara sulit. Mana-mana tentangan terhadap kerajaan disifatkan sebagai “kelemahan” untuk dieksploitasi musuh. Taktik-taktik kempen politik juga sering dirahsiakan: lihat skandal Watergate.
  • Penapisan agama: Mana-mana bahan yang menjelikkan kepercayaan tertentu disingkirkan. Hal ini sering melibatkan agama dominan yang menguat kuasa pembatasan terhadap yang kurang dominan. Dengan kata lain, penganut sesuatu agama boleh menghindari karya-karya seseorang penganut agama lain setelah mempercayai bahawa isinya kurang sesuai mengikut kepercayaan mereka.
  • Penapisan korporat: Para penyunting dalam saluran media korporat mencampur tangan menghalang penerbitan maklumat yang mencemari imej bisnes yang menggaji mereka atau rakan niaga yang berkaitan dengan syarikat mereka.[1][2] Pertubuhan swasta dalam perniagaan kewartawanan berita juga kadang-kala enggan mengedar maklumat atas sebab potensi kerugian hasil iklan atau nilai pemegang syer yang diakibatkan publisiti yang negatif.